SI DIA - MENJAGA HATI


hujan renyai diluar rumah membuatkan An terimbau kenangan lama. masih An ingat saat itu..


2 Februari 2009. Suatu tarikh yang memang An tak dapat nak lupakan. Mengenali seorang lelaki yang memang tak dapat diduga di lubuk hati An. Berkulit cerah, berhidung mancung, mempunyai sebentuk bibir yang comel lagi merah, rambut yang diwarnakan sedikit keperang-perangan. Sekali dipandang memang tak dapat meneka bangsa apakah dia. Namun hakikatnya dia seorang Melayu. 

........

Penat bersandar didinding bangunan shopping complex tersebut An duduk pula dibirai tangga. Kelihatan dari jauh dua orang pemuda berbangsa Cina sedang berjalan ke arahnya. Cepat-cepat saja An bangun. Hati nakal An terdetik. Comelnya pakwe ni. Sambil mulut meleret senyuman nakal,mulut membuka bicara. 

''Hai.."- masakan pemuda Cina nak balas hai kat diri kau nie An. Perasan lah! Hati An bermonolog.

Selepas beberapa tapak pemuda tersebut melintasi An, tiba-tiba dia berpaling. Berjalan tepat menuju ke arah An. An jadi tak tentu arah. Mahu lari dikatakan apa pula nanti. Takut pon ya!

''Assalamualaikum..''- sekalung salam membuatkan An terpana!

Dari situlah bermula pertemuan An dan dia. Seorang pemuda yang disangkakan Cina pada mulanya. Berperwatakan ceria,selalu tersenyum. Tapi tergambar diwajahnya rahsia yang tak dapat dikongsi dengan orang di sekelilingnya. An betol-betol gembira mengenalinya. Sampai suatu masa dia hendak menjadikan An teman istimewanya. An hanya mampu tersenyum. Mengangguk tidak, menggeleng pon tidak.


Cukup dua bulan, satu demi satu perkara yang terbongkar tentang kisah hidupnya. Dia seorang yang sangat rajin bekerja. Siangnya bekerja hanya di tempat membasuh kereta, malamnya pula bekerja di kaunter kelab malam. Pada mulanya dia sangka An akan marah apabila dapat tahu bahawa dia bekerja di tempat yang sebegitu. Tapi itu bukan cara An. Dia datang ke situ kerana hendak mencari rezeki. Walaupun memang punca rezeki malamnya itu tidak berapa elok jika diketahui orang, namun jujur itu yang An mahu. berbekalkan kata nasihat An yang baru sahaja mengenali dia, dia mencari kerja baru sebagai partime untuk waktu malam.


Kemana sahaja kami pergi orang di sekeliling mesti memandang pelik. Manakan tidak, si dia berpakaian serupa seperti pemuda Cina, bertindik bukan satu, rupanya lagilah tidak dapat disangkal. Yang peliknya adalah pemuda tadi berjalan pula dengan seorang perempuan Melayu yang lengkap bertudung. Dia juga menyedari keadaan tersebut. Jadi An turut menasihatkan dia untuk menanggal semua subangnya supaya nampak lebih elok dan hensem. Alhamdulillah,tanpa sebarang alasan dia menurut permintaan An. Bukan setakat hari itu, malah hari-hari yang seterusnya juga begitu. Hati An yang terharu hanya Tuhan sahaja yang tahu.


22 May 2009. Hari ini An akan jumpa dia. Cepat sahaja bersiap dengan mengenakan tudung yang dihadiahkan olehnya. Cantik! Pandai si dia pilihkan. Setiap pergi dan balik An dijemput. Walaupun hanya menggunakan teksi,tapi tetap membuatkan hati An tersentuh. Kami hanya berjalan-jalan dan makan. Pada mulanya si dia ajak An menonton wayang. Setelah beberapa kali menolak barulah si dia turut dengan permintaan An. An tahu penat lelah dia cari duit. Bazir jika dilaburkan dalam perkara yang tak penting. Saat penghujungnya membuatkan An menitiskan air mata. Dia menghadiahkan An anak patung CJ7 yang sangat digemari oleh ramai orang pada masa itu. Dulu An pernah tegur kecomelan patung tu,tak tahu pulak dia akan membelinya. Hanya senyuman sendu yang dapat diukirkan.


31 Ogos 2009.Hari yang sangat menyedihkan buat An. Pertama kali An dapat bercakap dengan ibu si dia. Walaupun dialek yang sangat berbeza,tapi An tetap cuba menumpukan sepenuh perhatian untuk memahami apa yang ibu si dia perkatakan. Ibunya sangat baik dan memahami. Sampaikan dia menangis bercakap dengan An. Bila ditanyakan mengapa hanya ucapan terima kasih kepada An yang diucapkan. Sampai suatu ketika,si ibu meminta An memujuk si dia untuk pulang ke negeri asalnya untuk menyambung pelajaran. Sekilas An memandang ke arahnya lalu setitis air mata menitis. Ya Allah kuatkanlah An untuk menerima dugaan ini. Ini merupakan perkara baik yang An dapat lakukan untuk kebaikannya.


Satu demi satu perkara An terangkan kepadanya. Tentang pelajarannya. Tentang masa depan yang terjamin yang dia boleh kecapi dengan pelajarannya itu. Dia hanya terdiam. Mungkin dia dapat apa yang An cuba sampaikan. Namu beberapa minit selepas itu dia bersuara.

''Macam mana saya nak belajar kalau saya kena tinggalkan An?'' - sejurus kata-kata tersebut meluncur keluar dari mulutnya An menangis teresak-esak. Pergilah awak. Ada jodoh kita akan bertemu lagi. An tetap akan ada di sini. An hanya mampu terdiam.


''Kalau saya pergi awak akan tetap ada kat sini kan? Ya, saya akan pergi. Tapi dengan syarat bagi saya tunggu sehingga hari istimewa awak'' - Tak sanggup lagi An memandang muka si dia yang sudah basah dengan air mata. Rendah sungguh egonya sebagai seorang lelaki untuk jujur menangis dan memperkatakan apa yang ada di benak hatinya. Ya dialah lelaki terbaik yang An pernah jumpa sepanjang hidup An.



13 September 2009. Hari yang paling bahagia dan hari paling sedih dalam hidup An. Pagi-pagi lagi An sudah menunggu dia dan kawannya di terminal bas. Dari  jauh kelihatan sudah nampak dua orang pemuda 'Cina' yang sama seperti suatu masa yang An pernah lalui dulu. Matanya basah, mungkin tak sanggup menangis di hapadan An. Sebuah beg tarik dan sebuah beg sandang di pegang bersamanya. Di atas beg tarik tersebut ada pula sebuah beg kertas kecil.

Saat pemergian dia sangat meruntun hati An. Air mata An senang sahaja mengalir.

''Awak,ni saya tinggalkan sapu tangan tuk awak. Nanti awak nangis teringatkan saya awak guna lah sapu tangan ni''- air mata An sudah tidak dapat disekat lagi. Walaupun bagi seseparuh orang hadiah itu tidak ada nilainya,tetapi bagi An ianya memberi seribu makna. An juga memberikan sebuah bag kertas kepada si dia.


Walaupun bas sudah hilang di pandangan mata, An tetap lagi menangis di lorong bas si dia naiki tadi. Seutas doa dipohon kepada-Nya.


''Ya Allah,permudahkanlah perjalanan si dia. Permudahkanlah urusan si dia. Tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang Kau rahmati. Jauhilah dia dari perkara-perkara yang mungkar'' -Amin.


Kedua-dua tapak tangan diraup ke muka dengan tenang. Esak tangisan sudah tidak dapat dibendung lagi. Pergilah awak! Semoga suatu hari nanti saya dapat bertemu dengan awak yang baru.......




bersambung.......



~anonymousgirl~





KISAH DIA - 1

Setiap orang punya cita-cita. Punya impian. Punya hobi. Punya kisah cinta,samada cinta monyet ataupun cinta tulus suci.

An pada suatu masa dulu adalah seorang kanak-kanak perempuan kecil yang suka berdikari. An tak pernah bawa duit saku ke sekolah. Tapi An yang akan cari duit sendiri ketika ke sekolah dengan menjual makanan dan buah-buahan tanpa pengetahuan emak. An faham An anak orang susah. Pergi dan balik ke sekolah sejak dari tadika sehingga An habis sekolah rendah An hanya berjalan kaki. Sesusah orang lain pon masih ada yang sudi menumpangkan mereka. Tapi tidak ada untuk diri An.

Usia meningkat naik. Setiap tahun An dapat anugerah di Majlis Penyampaian Hadiah akhir tahun. Semasa An darjah 6, An dipertanggungjawabkan menjadi Penolong Ketua Pengawas. Sejak dari situlah An bertemu dengan teman hidup pertama yang disifatkan 'cinta monyet' oleh sesegelintir orang.

Setiap hari An menjalankan tanggungjawab sebagai PKP di sekolah dengan dia. Walaupun An dulu mempunyai pangkat dalam sekolah, An sentiasa dibuli. Di pukul oleh pelajar-pelajar nakal. Tapi dia baik. Mungkin ada pembaca yang sifatkan cerita An macam dongengan. Tapi itulah kenyataan. 

Dia selalu membeli makanan untuk An kerana dia tahu An tak pernah menapak ke kantin jika tiada urusan. Dia selalu tolong An membuat kerja tanpa pengetahuan An. Menghantar An pulang ke rumah tanpa An sedari. An hanya dapat tahu perkara tu bila suatu hari dia menjerit semasa bersembunyi didalam semak. An tak tahu apa yang menyebabkan dia menjerit. Tapi An pasti itu suara dan kelibat dia kerana keesokan harinya An jumpa tag nama dia kat situ.

Masa akhir tahun darjah 6, An dapat rezeki yang tidak terhingga. Sekolah menganjurkan lawatan untuk pelajar-pelajar darjah 6. Semasa perkara itu diumumkan An tahu perkara tu hanya angan-angan bagi diri An. Pelajar lain bersorak gembira bertepuk tangan. An hanya mampu mengesat air mata. An hanya mampu berharap perkara ini tak sampai ke pengetahuan emak. Sebab An tahu emak akan sedih kerana tak dapat beri duit untuk An pergi.

Rezeki itu di tangan tuhan. An dapat pergi secara percuma. Bila salah seorang guru kelas An memberitahu perkara tersebut An menangis sampai satu kelas pandang An bila An masuk dengan mata yang bengkak. Guru beritahu An, An adalah salah seorang pelajar harapan sekolah. Jadi, sekolah tanggung segala pembayaran untuk An mengikuti lawatan tersebut.

Dia juga mengikuti lawatan tersebut. Sepanjang lawatan pelajar diberi peluang berjalan mengikut kumpulan tanpa diawasi guru untuk kemana-mana. Setiap masa dia tidak lepas dari mengikuti An. An tahu bunyi seperti An seperti syok sendiri. Tapi bukan kebetulan kan jika sampai dia menunggu di luar tandas semasa An didalamnya. Walhal tandas tersebut adalah tandas perempuan. Sudahlah An dengan dia sahaja yang berada di situ.

Sampailah suatu masa sebelom zaman persekolahan habis, kecoh satu sekolah sibuk menghebahkan An guna duit dia untuk mengikuti lawatan tersebut. An tak faham dengan keadaan pada masa tu. An tanya semula dengan guru yang menyampaikan berita tentang lawatan tu kepada An tentang kebenarannya. Memang sah, dia yang bayarkan atas nama An. Hanya tuhan saja yang tahu betapa malunya An. Sejak dari perkara tu An tak pernah bercakap dengan dia. Semua wang simpanan An, An gunakan untuk bayar kos lawatan tersebut.

Sehabisnya sekolah rendah, An dah tak pernah jumpa dia. Guru yang menipu An tu juga. An tahu mereka bukan berniat jahat, tapi caranya sahaja tidak kena. An sangat menghargai dia sebagai salah seorang teman rapat An masa An kecil. An ingat semua kenangan An dengan dia. Walaupun masa tu cinta tu masih An tak faham, tapi An tahu apa itu kasih sayang. 

An selalu ingatkan dia. Sehingga sekarang,saat An menaip entri ini. An berharap jika 'dia' yang dimaksudkan membaca entri An ini. An nak dia tahu, An dah lama maafkan dia. Cerita tu dah dianggap lapuk dalam fikiran An. An nak sangat dia tegur An macam zaman dulu-dulu. 

Tak ada sengketa......

Hanya senyuman penuh erti dari 'dia'....













Beberapa bulan lepas........
seorang lelaki menyapa An......



bersambung.....



~anonymousgirl~ 

HIDUP SEBATANG KARA

Salam perkenalan buat pendengar isi hati An sekalian...

Pertama kali An berani membuka sebuah lembaran untuk bercerita kisah hidup An. Kisah hidup yang tidak semegah hidup anak gadis di luar sana. Yang terlalu banyak perbezaan dan jurang dengan gadis yang bertuah di sekeliling An. An tiada tempat bercerita. An tidak mempunyai ramai kawan. An tidak mempunyai apa-apa penghibur di sekeliling hidup An. An hanya mencuba membuka lembaran ini untuk berkongsi cerita dengan seseorang. 

Ya...

 Seseorang yang mungkin sudi membalas ucapan salam An. Seseorang yang sudi menyampaikan senyuman atas kata-kata An. Seseorang yang mungkin boleh menemani An menitiskan air mata. Dan mungkin juga seseorang yang mungkin bercakap dengan An secara tidak zahir dilembaran hidup An ini. Yang sudi menulis kata-kata punyumbang semangat kepada An.

An seorang gadis biasa. An dilahirkan daripada sebuah keluarga yang penuh dengan pancaroba kehidupan. Tidak susah untuk hidup, tetapi tidak juga senang untuk bahagia. An mempunyai seorang emak yang sangat tabah mengharungi dugaan hebat dalam kehidupannya. An juga mempunyai seorang ayah yang An memang tidak rapat sejak An masih kecil. Persoalan tu biarlah An ceritakan di kemudian hari. 

An mempunyai adik beradik tetapi.... 


....hanya Tuhan sahaja yang mengetahui bagaimana kehidupan An dengan mereka. 

Lembaran ini mungkin akan dianggap tempat An membuka pekung kehidupan keluarga An,kehidupan orang disekeliling An dan mungkin hidup peribadi An sendiri. Tapi An berharap pendengar isi hati An semua boleh menerima secara positif apa yang An luahkan. An hendak mengatakan tiada niat sebegitu nampaklah bahawa An menipu. Tetapi hanya satu niat An. An berharap pendengar isi hati An dapat memandang berat setiap kisah yang An akan ceritakan di dalam lembaran ini supaya kita tidak melakukan kesalahan itu kepada orang lain. Supaya pendengar semua tahu silap diri kita sendiri. Supaya ada pendengar yang sedar bahawa bukan dia sahaja yang mempunyai nasib yang sama seperti An di dunia ini..

An harap kata-kata An di atas sudah dapat mengambarkan apa yang bakal di catat dalam lembaran ini. An tidak memaksa pendengar semua membaca setiap kisah kehidupan An. Kerana An tahu tidak semua orang mahu menyelami apa yang orang lain rasa. An hanya mampu menceritakan.  Tetapi hanya pendengar semua yang boleh mentafsir dan memberi nasihat kepada An.


Salam penghujung bicara dari An.




~anonymusgirl~