KISAH DIA - 1

Setiap orang punya cita-cita. Punya impian. Punya hobi. Punya kisah cinta,samada cinta monyet ataupun cinta tulus suci.

An pada suatu masa dulu adalah seorang kanak-kanak perempuan kecil yang suka berdikari. An tak pernah bawa duit saku ke sekolah. Tapi An yang akan cari duit sendiri ketika ke sekolah dengan menjual makanan dan buah-buahan tanpa pengetahuan emak. An faham An anak orang susah. Pergi dan balik ke sekolah sejak dari tadika sehingga An habis sekolah rendah An hanya berjalan kaki. Sesusah orang lain pon masih ada yang sudi menumpangkan mereka. Tapi tidak ada untuk diri An.

Usia meningkat naik. Setiap tahun An dapat anugerah di Majlis Penyampaian Hadiah akhir tahun. Semasa An darjah 6, An dipertanggungjawabkan menjadi Penolong Ketua Pengawas. Sejak dari situlah An bertemu dengan teman hidup pertama yang disifatkan 'cinta monyet' oleh sesegelintir orang.

Setiap hari An menjalankan tanggungjawab sebagai PKP di sekolah dengan dia. Walaupun An dulu mempunyai pangkat dalam sekolah, An sentiasa dibuli. Di pukul oleh pelajar-pelajar nakal. Tapi dia baik. Mungkin ada pembaca yang sifatkan cerita An macam dongengan. Tapi itulah kenyataan. 

Dia selalu membeli makanan untuk An kerana dia tahu An tak pernah menapak ke kantin jika tiada urusan. Dia selalu tolong An membuat kerja tanpa pengetahuan An. Menghantar An pulang ke rumah tanpa An sedari. An hanya dapat tahu perkara tu bila suatu hari dia menjerit semasa bersembunyi didalam semak. An tak tahu apa yang menyebabkan dia menjerit. Tapi An pasti itu suara dan kelibat dia kerana keesokan harinya An jumpa tag nama dia kat situ.

Masa akhir tahun darjah 6, An dapat rezeki yang tidak terhingga. Sekolah menganjurkan lawatan untuk pelajar-pelajar darjah 6. Semasa perkara itu diumumkan An tahu perkara tu hanya angan-angan bagi diri An. Pelajar lain bersorak gembira bertepuk tangan. An hanya mampu mengesat air mata. An hanya mampu berharap perkara ini tak sampai ke pengetahuan emak. Sebab An tahu emak akan sedih kerana tak dapat beri duit untuk An pergi.

Rezeki itu di tangan tuhan. An dapat pergi secara percuma. Bila salah seorang guru kelas An memberitahu perkara tersebut An menangis sampai satu kelas pandang An bila An masuk dengan mata yang bengkak. Guru beritahu An, An adalah salah seorang pelajar harapan sekolah. Jadi, sekolah tanggung segala pembayaran untuk An mengikuti lawatan tersebut.

Dia juga mengikuti lawatan tersebut. Sepanjang lawatan pelajar diberi peluang berjalan mengikut kumpulan tanpa diawasi guru untuk kemana-mana. Setiap masa dia tidak lepas dari mengikuti An. An tahu bunyi seperti An seperti syok sendiri. Tapi bukan kebetulan kan jika sampai dia menunggu di luar tandas semasa An didalamnya. Walhal tandas tersebut adalah tandas perempuan. Sudahlah An dengan dia sahaja yang berada di situ.

Sampailah suatu masa sebelom zaman persekolahan habis, kecoh satu sekolah sibuk menghebahkan An guna duit dia untuk mengikuti lawatan tersebut. An tak faham dengan keadaan pada masa tu. An tanya semula dengan guru yang menyampaikan berita tentang lawatan tu kepada An tentang kebenarannya. Memang sah, dia yang bayarkan atas nama An. Hanya tuhan saja yang tahu betapa malunya An. Sejak dari perkara tu An tak pernah bercakap dengan dia. Semua wang simpanan An, An gunakan untuk bayar kos lawatan tersebut.

Sehabisnya sekolah rendah, An dah tak pernah jumpa dia. Guru yang menipu An tu juga. An tahu mereka bukan berniat jahat, tapi caranya sahaja tidak kena. An sangat menghargai dia sebagai salah seorang teman rapat An masa An kecil. An ingat semua kenangan An dengan dia. Walaupun masa tu cinta tu masih An tak faham, tapi An tahu apa itu kasih sayang. 

An selalu ingatkan dia. Sehingga sekarang,saat An menaip entri ini. An berharap jika 'dia' yang dimaksudkan membaca entri An ini. An nak dia tahu, An dah lama maafkan dia. Cerita tu dah dianggap lapuk dalam fikiran An. An nak sangat dia tegur An macam zaman dulu-dulu. 

Tak ada sengketa......

Hanya senyuman penuh erti dari 'dia'....













Beberapa bulan lepas........
seorang lelaki menyapa An......



bersambung.....



~anonymousgirl~ 

HIDUP SEBATANG KARA

Salam perkenalan buat pendengar isi hati An sekalian...

Pertama kali An berani membuka sebuah lembaran untuk bercerita kisah hidup An. Kisah hidup yang tidak semegah hidup anak gadis di luar sana. Yang terlalu banyak perbezaan dan jurang dengan gadis yang bertuah di sekeliling An. An tiada tempat bercerita. An tidak mempunyai ramai kawan. An tidak mempunyai apa-apa penghibur di sekeliling hidup An. An hanya mencuba membuka lembaran ini untuk berkongsi cerita dengan seseorang. 

Ya...

 Seseorang yang mungkin sudi membalas ucapan salam An. Seseorang yang sudi menyampaikan senyuman atas kata-kata An. Seseorang yang mungkin boleh menemani An menitiskan air mata. Dan mungkin juga seseorang yang mungkin bercakap dengan An secara tidak zahir dilembaran hidup An ini. Yang sudi menulis kata-kata punyumbang semangat kepada An.

An seorang gadis biasa. An dilahirkan daripada sebuah keluarga yang penuh dengan pancaroba kehidupan. Tidak susah untuk hidup, tetapi tidak juga senang untuk bahagia. An mempunyai seorang emak yang sangat tabah mengharungi dugaan hebat dalam kehidupannya. An juga mempunyai seorang ayah yang An memang tidak rapat sejak An masih kecil. Persoalan tu biarlah An ceritakan di kemudian hari. 

An mempunyai adik beradik tetapi.... 


....hanya Tuhan sahaja yang mengetahui bagaimana kehidupan An dengan mereka. 

Lembaran ini mungkin akan dianggap tempat An membuka pekung kehidupan keluarga An,kehidupan orang disekeliling An dan mungkin hidup peribadi An sendiri. Tapi An berharap pendengar isi hati An semua boleh menerima secara positif apa yang An luahkan. An hendak mengatakan tiada niat sebegitu nampaklah bahawa An menipu. Tetapi hanya satu niat An. An berharap pendengar isi hati An dapat memandang berat setiap kisah yang An akan ceritakan di dalam lembaran ini supaya kita tidak melakukan kesalahan itu kepada orang lain. Supaya pendengar semua tahu silap diri kita sendiri. Supaya ada pendengar yang sedar bahawa bukan dia sahaja yang mempunyai nasib yang sama seperti An di dunia ini..

An harap kata-kata An di atas sudah dapat mengambarkan apa yang bakal di catat dalam lembaran ini. An tidak memaksa pendengar semua membaca setiap kisah kehidupan An. Kerana An tahu tidak semua orang mahu menyelami apa yang orang lain rasa. An hanya mampu menceritakan.  Tetapi hanya pendengar semua yang boleh mentafsir dan memberi nasihat kepada An.


Salam penghujung bicara dari An.




~anonymusgirl~